Friday, October 1, 2010

AidilFitri 2010 tanpa Tok Cai

Masih tidak terlambat rasanya untuk mengucapkan 'Selamat Hari Raya AidilFitri'... seperti yang sedia maklum, inilah tahun pertama kita menyambut hari raya tanpa Tok Cai yang pergi meninggalkan kita pada 2 Mei 2010.  Blog ini ditulis bagi memperingati arwah...

Arwah Tok Cai seorang yang rajin dan pandai bertukang. Telah banyak usaha dicurahkan untuk memberi kehidupan yang sempurna dan selesa kepada isteri tercinta dan anak-anak yang disayanginya. Ada hasil kerjatangannya yang sudah tiada tapi ada juga yang masih elok. Kepada yang tidak tahu, Rumah Minyak Beku didirikan dengan hasil tangan & idea arwah. Walaupun bangsal, reban ayam, pangkin kini sudah tiada, masih terpahat di dalam memori dan ingatan cucu-cucunya yang sempat merasa suasana kampung ketika kedua-dua atuknya masih ada.

Masih ingat lagi, ketika kecil terasa rumah atok sangat besar dan seronok dapat berlari ke depan ke belakang. Bangsal atok penuh dengan barang-barang tukangan dan kayu kayan. Ada reban ayam yang mana ibu ayamnya sesekali marah kepada kami kerana cuba mengambil telur-telurnya. Disediakan juga buai di sudut bangsal tersebut untuk cucu-cucunya. Buai yang simple saja, sekeping kayu yang diikat dengan tali dan disangkutkan ke alang bangsal. Mungkin ianya sesuatu yang membahagiakan bila melihat cucu-cucunya ketawa ketika menghayun buai.

Setiap manusia mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing kerana manusia itu tidak sempurna. Tidak terkecuali arwah.....


Arwah juga dikenali sebagai seorang yang tegas dan garang. Garang hingga tiada yang berani melawan cakapnya. Mungkin kesusahan yang dialaminya semasa dia kecil telah membentuk perwatakan tersebut supaya dia tidak mudah diperkotak-katikkan oleh sesiapa. Pun begitu, arwah masih mempunyai jiwa yang penyayang dan kasih kepada orang-orang yang dekat dengannya. Cuma arwah tidak pandai menzahirkan kasih sayangnya dengan peluk cium atau usapan di kepala. Mungkin cara arwah berbeza dan kita perlu mengingatkan kembali waktu-waktu yang mungkin kita rasa arwah cuba meluahkan kasih sayangnya.

Mungkin melalui hasil tukangan yang diberikan kepada anak-anaknya.  Katil, almari dan meja solek hasil kerja tangannya telah dihadiahkan kepada Mak Dah sebagai hadiah perkahwinan. Meja solek telah dilupuskan kerana rumah Taman Soga kekurangan ruang. Tetapi almari baju dan katil masih elok dan tegap. Hasil kerja tangannya menggambarkan personaliti arwah; seorang yang simple, percaya kepada diri sendiri dan tegas.

Mungkin juga dengan menguatkan diri mencari rezeki supaya anak-anak dapat menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Arwah mungkin mengorbankan masa lenggangnya dengan melakukan kerja-kerja yang boleh mendatangkan rezeki. Mungkin ini terjemahan arwah bagaimana menzahirkan kasih-sayang kepada isteri dan anak-anak.

Apakah memori mengenai arwah yang ingin disimpan? Seeloknya simpanlah memori yang membahagiakan dan bukan yang menjauhkan lagi diri kita darinya kerana arwah sudah tiada. Di alam barzakh, tiada apa yang lebih bermakna dari doa anak-anak yang soleh/solehah. Kita harus ingat, kita juga nanti akan dijemput oleh malaikat maut dan sudah tentu kita juga memerlukan amalan anak-anak yang soleh/solehah untuk membantu kita.

Semoga roh Tok Cai dicucuri rahmat dan sentiasa didoakan oleh anak-anak dan cucu-cucunya.... begitu juga kepada semua yang telah pergi meninggalkan kita; Tok Jah, Ayah Long & Pak Lek. Sama-samalah kita sedekahkan surah Al Fatihah kepada mereka.... Al Fatihah........

2 comments:

superbkids' mom said...

sungguh tersentuh membaca coretan ini.masih terbayang-bayang arwah terbaring ditengah rumah. semoga Allah mencucuri rahmat ke atas beliau. Amin

Rahimi said...

Sedihnye..baca ni.. hampir menitiskan air mata.. Atuk xpernah garang pada cucu die.. Ingat lagi atuk belanja makan durian masa cat rumah die.. Itu antara kenangan manis yang x boleh imi lupakan.. Sayang atuk!